Thursday, October 15, 2009

Benarkan Cermin Gelap

“Sebab apa MPV Toyota Alphard banyak pakai cermin gelap?,” soal kenalan.

Diceritakan kepada saya, cermin asal Alphard ketika diimpot masuk ke Malaysia, gelap. Ejen penjual Alphard dikatakan menukar semua cermin gelap kenderaan itu dengan cermin cerah sebelum pemeriksaan wajib Puspakom. Selesai pemeriksaan, cermin gelap dipasang semula.

Peraturan Kecil Jabatan Pengangkutan Jalan, Kaedah 5(1) dan Kaedah 5(3) Kaedah Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis Jenis Kaca Tertentu) Pindaan 2000 menetapkan cermin depan kenderaan hendakah telus cahaya tidak kurang 70% manakala cermin belakang dan tepi hendaklah telus cahaya tidak kurang 50%. Kesalahan pertama, pemilik kenderaan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih 2 minggu. Kesalahan kedua denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih 1 bulan atau keduanya.

Sebelum ini Jabatan Pengangkutan Jalan, JPJ, dilapor bakal mengadakan operasi pemeriksaan cermin gelap tetapi terpaksa ditangguhkan..

Saya difahamkan sumber boleh dipercayai, JPJ telah mengadakan mesyuarat bersama Polis Diraja Malaysia,PDRM dan Kementerian Pengangkutan. JPJ mencadangkan pemilik kenderaan di Malaysia dibenar menggunakan cermin gelap kecuali cermin depan mengikut standard di negara Eropah. Bagaimanapun, cadangan itu dibantah keras PDRM atas alasan keselamatan.

Andaian saya, PDRM bimbang jika kenderaan bercermin gelap disalahgunakan penjenayah. Namun, melalui pengalaman, saya tidak pernah melihat kenderaan bercermin gelap digunakan dalam kes rompakan. Hemat saya, penjenayah lebih cenderung menggunakan kenderaan dicuri secara rambang.

Dalam mesyuarat sama, PDRM dilapor menyerahkan tugas penguatkuasaan memeriksa kenderaan bercermin gelap kepada JPJ. Namun, JPJ membuat keputusan mengesan kenderaan terbabit secara rambang melalui rondaan di jalanraya, jika dikesan pemilik diarah membawa kenderaan ke JPJ untuk pemeriksaan. Setakat ini JPJ memilki 100 alat pengesan kadar ketelusan cahaya berharga RM30,000 setiap satu. Alat terbabit didakwa mampu merekod bacaan tepat dalam semua keadaan cuaca.

Maklumat penting berikut ingin saya kongsikan bersama pembaca. Hanya Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Sultan, Tengku Mahkota, Raja Muda, Hakim Mahkamah Tinggi, Panglima Tentera Darat dan Ketua Polis Negara sahaja dibenar menggunakan kenderaan bercermin gelap di negara ini. Individu disahkan Ketua Polis Negeri terancam keselamatan diboleh menggunakan cermin gelap. Begitu juga individu disahkan sensitif kepada cahaya matahari disahkan doktor pakar hospital kerajaan.

Selain daripada golongan itu, tindakan undang-undang boleh dilaksanakan.

Bagaimanapun, melalui pandangan mata kasar majoriti pemimpin politik dan pihak berkuasa didapati menggunakan kenderaan bercermin gelap, antara mereka, Menteri Kabinet, wakil rakyat, pegawai dan kakitangan JPJ, PDRM, Kastam dan Jabatan Imigresen. Kita semua bersetuju, no one is above the law, tiada siapa kebal daripada tindakan undang-undang, lalu ramai mempertikaikan tindakan mereka. Namun, sebilangan besar pemilik kereta awam mengambil pendekatan berbeza. Bak kata pepatah Inggeris, ‘if you can’t fight them, you join them’, maka mereka juga menggunakan kenderaan bercermin gelap.

Untuk mengelakkan imej pemimpin politik, pihak berkuasa dan pemilik kenderaan awam daripada terus tercalar, secara peribadi, saya menyokong semua kenderaan di Malaysia dibenar menggunakan cermin gelap.



No comments:

Post a Comment